Individu atau syarikat yang didapati terlibat menjual produk-produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952. Jika disabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya. Manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Di Malaysia, pengguguran janin adalah menyalahi undang-undang di bawah Akta 574 Kanun Keseksaan (pindaan – 1997). Walau bagaimanapun, fasal pengecualian telah ditambah kepada Seksyen 312, seorang pakar perubatan yang berdaftar di bawah Akta Perubatan 1971 boleh menamatkan kehamilan seorang wanita jika kehamilan itu diteruskan boleh meningkatkan risiko kepada nyawa wanita tersebut, atau membawa kemudaratan yang lebih besar kepada kesihatan mental atau fizikal jika tidak digugurkan. Namun di bawah Seksyen 314 Kanun Keseksaan menunjukkan bahawa jika proses pengguguran janin ini telah membawa kepada kematian ibu, ianya akan menjadi satu kesalahan jenayah.

JIKA anak dalam kandungan berusia empat bulan mengalami kecacatan seperti tempurung kepala tidak sempurna, adakah dibolehkan menggugurkan kandungan itu?

Pengguguran bayi dalam kalangan wanita Islam adalah satu fenomena yang menjadi permasalahan bersifat domestik dan antarabangsa.

Ia bukan perkara baru dan sudah dibincangkan ulama dalam kitab fiqh klasik dan moden.

Hukum menggugurkan bayi dalam kandungan boleh dibahagikan kepada dua iaitu menggugurkan kandungan sebelum berusia empat bulan dan menggugurkannya selepas berusia empat bulan.

Ini berdasarkan sabda Nabi SAW daripada Ibn Mas’ud r.a yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap daripada kamu dihimpunkan penciptaannya di dalam rahim perut ibunya selama 40 hari, kemudian jadilah (nutfah) itu segumpal darah selama tempoh itu juga, kemudian jadilah (‘alaqah) itu segumpal daging selama tempoh itu juga, kemudian diutuskan malaikat dan ditiupkan ke dalamnya roh.” (Riwayat al-Bukhari – 3208) dan Muslim – 2643)

Menggugurkan kandungan berusia empat bulan atau kurang daripadanya termasuk dalam perkara yang menjadi perselisihan dalam kalangan ulama kerana dalam tempoh itu roh belum lagi ditiupkan.

Majoriti ulama mengatakan, hukumnya adalah haram. Sebahagian lain mengatakan hukumnya makruh.

Sebahagian lain pula berpendapat, hukumnya harus dengan syarat tertentu. (Rujuk Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah – 2/58-59, Nihayah al-Muhtaj – 8/416)

Adapun menggugurkan kandungan selepas berusia empat bulan, ulama bersepakat hukumnya haram kerana pada usia itu, roh sudah ditiupkan ke dalam kandungan ibu.

Namun, diharuskan menggugurkan bayi di dalam kandungan walaupun sudah ditiupkan roh kepadanya (selepas berusia empat bulan) jika ia boleh mengancam nyawa ibunya. (Rujuk Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah – 2/57)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-26 yang diputuskan pada 7 Mac 1990 menyatakan:

  1. Menurut Ijmak Fuqaha’, haram menggugurkan janin yang sudah berusia lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang sudah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab kecacatan yang teruk.
  2. Makruh menggugurkan janin berumur antara satu hari hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya kepada ibu dan mendapat persetujuan daripada suami dan isteri.
  3. Ijmak Fuqaha’ berpendapat, hukum pengguguran janin berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu.

Muzakarah mengambil keputusan bahawa haram menggugurkan janin di dalam kandungan kecuali atas sebab kecacatan yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.

Berdasarkan nas, perbincangan dan fatwa berkenaan, bayi di dalam kandungan berusia empat bulan dan ke atas tidak boleh digugurkan kecuali pengguguran itu bertujuan untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab kecacatan teruk selain selepas mendapat nasihat daripada pakar perubatan yang bertauliah.

Kami menasihatkan supaya mendapatkan pandangan daripada pakar perubatan mengenai kedudukan bayi di dalam kandungan dan kesan yang mungkin berlaku kepada ibu dan bayi jika bayi di dalam kandungan itu tidak digugurkan.

Sumber: Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan